Thursday, October 13, 2016

ISTIQAMAH

Allah berfirman;

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang berkata; 'Tuhan kami adalah Allah', kemudian mereka beristiqamah, para malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata); 'Janganlah kamu takut/bimbang dan janganlah kamu berdukacita, terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu'" (Surah Fussilat, ayat 30).

* Maksud 'berkata; Tuhan kami adalah Allah' ialah mengucapkan kalimah tauhid iaitu Lailahaillallah (Tafsir an-Nasafi).

* Maksud 'beristiqamah'; 
1. Berterusan mentauhidkan Allah dan melaksanakan kewajipan yang difardhukan ke atas mereka (Tafsir al-Jalalaian). 
2. Menurut Saidina Abu Bakar; iaitu mereka yang tidak pernah mensyirikkan Allah (Tafsir Ibnu Kathir).
3. Menurut Ibnu 'Abbas RA; beristiqamah melaksanakan segala kefardhuan yang ditetapkan Allah (Tafsir Ibnu Kathir).
4. Menurut Abu al-'Aliyah; sentiasa ikhlas kepada Allah ketika beramal dan melaksana tuntutan agama (Tafsir Ibnu Kathir).

* Maksud 'para malaikat akan turun', iaitu turun pada ketika mereka hampir mati (Tafsir al-Jalalain).

* Maksud 'janganlah kamu takut/bimbang'; iaitu janganlah kamu takut/bimbang dengan kematian dan kehidupanmu setelah mati (Tafsir al-Jalalain).

* Maksud 'janganlah kamu berdukacita'; iaitu janganlah berdukacita tentang apa yang kamu tinggalkan dari isteri, anak-pinak dan sebagainya, kerana kamilah pengganti kamu untuk menjaga mereka (Tafsir al-Jalalain).

Sufyan bin Abdullah as-Saqafi RA pernah meminta kepada Nabi SAW; 'Ya Rasulullah SAW, ajarkan kepadaku suatu ilmu untuk aku berpegang dengannya'. Jawab Nabi SAW; "Ucapkanlah; 'Aku beriman dengan Allah', kemudian hendaklah kamu beristiqamah". Aku bertanya lagi; 'Ya Rasulullah, apakah yang paling engkau bimbangkan pada diriku?'. Nabi SAW memegang lidahnya sendiri, lalu berkata; 'Yang ini' (Musnad Ahmad; 15418. Sunan at-Tirmizi; 2410. Hadis soheh).

Nabi SAW bersabda; 
لَا يَسْتَقِيمُ إِيمَانُ عَبْدٍ حَتَّى يَسْتَقِيمَ قَلْبُهُ، وَلَا يَسْتَقِيمُ قَلْبُهُ حَتَّى يَسْتَقِيمَ لِسَانُهُ، وَلَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ رَجُلٌ (2) لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
"Tidak akan lurus iman seorang hamba Allah selagi tidak lurus hatinya dan tidak lurus hatinya selagi tidak lurus lidahnya. Tidak akan masuk Syurga seorang lelaki yang tidak aman jirannya dari kejahatan-kejahatannya" (Musnad Ahmad; 13048. Dari Anas RA. Isnadnya dhaif).


0 comments:

Post a Comment